Naib Canselor UiTM Mengatakan Nur Syuhada Mengikut Suspek Secara Sukarela


JITRA – Keluarga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang yang maut dikelar seorang lelaki di Perak Isnin lalu, meminta agar kawalan keselamatan di kampus itu ditingkatkan supaya tragedi yang menimpa anak mereka tidak berulang.
Ibu kepada Nur Syuhada Johari, Nor Azlina Dawari, 44, berkata, tragedi yang menimpa anak perempuannya itu patut dijadikan iktibar oleh pihak keselamatan universiti tersebut supaya tidak mudah membenarkan orang luar memasuki kawasan kampus.
“Sebelum ini anak saya (Nur Syuhada) ada beritahu senang nak masuk kampus, hanya perlu lambai tangan pada pengawal keselamatan sahaja dah boleh masuk.
“Saya amat berharap, kawalan keselamatan di sana ditingkatkan selepas kejadian ini berlaku kerana saya sayangkan pelajar-pelajar di sana, saya tidak mahu kejadian sama berulang,” katanya, semalam.
Menurutnya, dia dan keluarganya terkilan dan kecewa apabila membaca kenyataan Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said, yang dilaporkan Nur Syuhada mengikut suspek itu secara sukarela.
“Saya masih simpan mesej diterima daripada rakan anak saya yang memberitahu lelaki terbabit mengacukan pisau kepada anak saya.
“Macam mana, UiTM tahu anak saya ikut lelaki itu secara sukarela. Kami kecewa dengan kenyataan ini,” katanya.
Sementara itu, bapa Nur Syuhada, Johari Hashim, 55, berkata, dia berharap pembunuh anaknya dikenakan hukuman setimpal.
Isnin lalu, Nursyuhada yang juga penuntut jurusan Diploma Pengurusan Hotel dan Pelancongan universiti tersebut maut selepas dipercayai dikelar seorang lelaki di Kilometer 228.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Gantang, Perak.
Berikutan kejadian itu, seorang lelaki berusia 25 tahun, dipercayai bekerja sebagai tukang masak di Melaka ditahan reman tujuh hari bermula kelmarin untuk membantu siasatan.