Saya telah 6 tahun mendirikan rumahtangga atas suka sama suka dan mempunyai 2 orang anak. Masalah bermula setelah mendapat anak pertama. Saya pernah tinggal bersama ibu mertua selama dua tahun. Pada mulanya, memang saya dilayan dengan baik, tetapi mungkin kerana hasutan dari adik-adik ipar, rumahtangga saya jadi semakin goyang. Masalahnya suami saya terlalu ikutkan kata ibunya sahaja. Ibu mertua saya menjaga anak saya ketika kami bekerja, atas persetujuan suami saya, walaupun saya tidak rela.
Masalah timbul, adik-beradik ipar mula menuduh saya yang membuat ibu mereka seperti kuli dalam rumah kerana saya menumpang duduk di rumah mereka dan ibu mertua menjaga anak saya. Setelah saya banyak kali menyuarakan untuk berpindah, baru kami dapat pindah keluar dari rumah mertua. Itupun tidak tahu berapa kali bergaduh dengan suami,
Selepas duduk rumah sendiri, anak saya masih dibela oleh mertua. Ini juga atas desakan suami, walaupun saya tidak rela. Setelah diperkatakan macam-macam oleh adik ipar, saya terima sahaja.
Suami saya seorang jurutera dan kerjanya selalu outstation. Mulalah buka cawangan lain, bersayang sana sini, balik rumah sorok handphone, mesej malam-malam, bil telefon pun melambung-lambung. Saya pernah jumpa sendiri gambar dia dengan wanita lain dalam handphone dia, tapi dia cakap cuma kawan sahaja. Masa duduk di rumah mentua pun, pernah terkantoi mesej-mesej sayang dia itudengan perempuan lain. Bila saya bising-bising, dia senyap. Lepas itubuat balik. Saya masih boleh sabar lagi.
Hubungan suami dengan ibu-bapa saya pun juga tidak baik. Saya terpaksa beritahu perihal dia kepada ibu bapa saya disebabkan saya sudah tidak tahan lagi dan tidak tahu mahu mengadu pada siapa. Suami pernah hantar mesej pada adik saya, bahawa dia mengatakan akan menceraikan saya kalau adik masuk campur urusan rumahtangga kami. Saya pernah bertanya kepada kawan-kawan sepejabat dia yang sama-sama outstation itu. Memang benar, dia kerap keluar bersama dengan perempuan itu selepas waktu kerja.
Selain itu, mak mertua saya bukannya sihat sangat. Ada penyakit darah tinggi dan perlu check-up selalu. Jadi terpaksalah saya selalu ambil ‘emergency leave’ atau ‘medical leave’ (MC) kerana tiada siapa yang mahu jaga anak saya. Boleh dikatakan dalam sebulan, adalah 4-5 kali. Sampai satu hari boss saya bising kerana asyik cuti dan banyak kerja-kerja saya yang terbengkalai.
Saya suarakan hasrat saya kepada suami yang selalu outstation itu, tapi alasan dia, tunggu dia balik. Sampai satu tahap, saya sudah tidak sabar, saya terpaksa hantar juga anak ke nursery. Dan dalam tempoh seminggu anak saya dihantar ke sana, berpuluh-puluh panggilan telefon saya terima dari belah mertua, suruh saya hantar semula anak saya ke rumah mereka.
Saya berdegil juga. Saya ingat lagi pada hari Jumaat malam itu, saya dan anak saya pergi ke rumah mertua. Pada waktu itu, suami saya tiada di rumah mertua, keluar minum dengan rakannya. Saya masuk ke rumah mertua, suasana suram, semua orang muka masam mencuka tengok muka saya dan anak.
Anak saya tidak mahu pergi kepada nenek dia setelah hantar ke nursery. Tiba-tiba adik ipar perempuan saya datang meluru kepada saya yang tengah mendukung anak saya, dan berkata saya perempuan sial sambil menolak-nolak saya , sebab buat mak dia menangis kerana rindukan cucu dia.
Ditambah pula abang ipar yang menumbuk kepala saya dan mencampakkan keluar beg dan makanan anak saya ke luar rumah. Saya jadi bingung, mereka ambik anak saya. Nasib baik datang bapa mertua meleraikan pergaduhan. Saya lari ke luar rumah dan menghubungi ibu-bapa saya. Datang ibu-bapa saya, bergaduh depan rumah. Tidak cukup dengan itu, ibu mertua dan adik-adik ipar membaling kasut dan selipar ke arah saya dan ibu saya, sambil berkata ‘perempuan sial’ dan ‘menantu tak guna’.
Suami saya balik dan hanya duduk di dalam rumah. Selepas pihak polis sampai, barulah dia keluar. Ayah saya sudah naik angin dan berperasaan tidak keruan, sambil menyuruh suami menceraikan saja saya. Ini kerana dia sudah tidak boleh melindungi isteri dan anak sendiri. Oleh kerana sayangkan suami, saya teruskan juga.
Selepas peristiwa gila itu, kami berpindah ke rumah sewa lain, kononnya untuk menukar angin dan melupakan kisah suram itu. Saya mengandung anak kedua. Kisah tidak habis disini, suami saya kerap keluar malam. Berkawan dengan budak-budak kereta yang bujang-bujang, sambil melepak tidak tentu arah. Saya balik lewat sebab banyak kerja pun dia bising, tapi kalau dia keluar, balik pukul 3-4 pagi, saya bising, dia akan marah saya balik.
Lagi satu, selepas khawin dengan dia, hubungan saya dengan saudara mara langsung renggang. Ini kerana suami tidak suka melawat saudara mara, baik ada kenduri-kendara atau tidak, tidak pernah dia menjengah.
Seingat saya, ada 2 kali saja dia pernah ikut saya selama 6 tahun berkahwin. Selebihnya, saya pergi bersama anak saya, dan terpaksa berkata kepada kawan-kawan atau saudara mara saya, suami saya tidak dapat hadir kerana bekerja, padahal dia hanya duduk melepak rumah mak dia. Memang dia ini anak mak, apa-apa hal pun, mak dia akan cari dia, sedangkan ada lagi abang-abang yang lain.
Berbalik kepada cerita dia selalu keluar malam dan mula bekerja waktu malam. Saya mula terhidu SMS yang berbau cinta semula antara dia dengan skandal baru pula. Bila saya cakap pada dia, dia kata cuma kawan-kawan saja. Sampai satu hari itu, saya terbaca SMS dia kata ‘I mahu peluk you tadi’.
Bila perempuan itu menghubungi suami saya pada waktu malam, dia kata dari pejabat. Ada server breakdown dan macam-macam lagi. Hidup-hidup dia tipu saya. Sampai satu tahap, saya tension, stress dan banyak kali pengsan di pejabat dan di rumah dalam bilik air. Keluar masuk hospital dah biasa sebab pengsan dan dalam keadaan mengandung.
Pada hari minggu saya disuruh duduk rumah mak saya, sebab dia kata dia kerja, risau pada saya tiada orang jaga, kerana masa itu saya sarat mengandung. Saya pun turutkan saja.
Namun, Allah itu Maha Kaya, saya doa minta petunjuk kalau suami saya curang. Pada pagi bulan puasa 2 tahun lepas saya yang sarat mengandung 7 bulan, pulang ke rumah kami untuk mengambil selipar anak saya sebab saya tidur di rumah emak.
Alangkah terkejutnya saya melihat suami saya sedang enak tidur bersama seorang perempuan di atas katil saya. Ya Allah, mahu pengsan saya masa itu. Saya kuatkan hati saya. Saya terima dia balik, sebab fikirkan anak dalam perut ini lahir tiada berbapa.
Saya sabar lagi dengan perangai suami saya dan saya langsung tidak buat laporan polis atau pejabat agama. Saya sedar, itu silap saya kerana terlalu sayangkan perkahwinan saya. Saya korbankan semua. Bukan itu sahaja, tunjuk ajar agama pun kurang, apa yang wajib pun susah mahu tunaikan. Kalau saya tidak kuat, dengan saya pun hanyut juga agaknya.
Peristiwa demi peristiwa berlaku. Sampai sekarang, saya dah punyai 2 orang anak dan perangainya masih tidak berubah. Dia masih bercinta di pejabat dan bersayang-sayang. Kami sudah pergi ke pejabat agama untuk kaunseling, tetapi saya rasa hati saya sudah tawar untuk dia.
Jiwa saya kosong. Urusan rumah, anak-anak kebanyakkannya saya yang uruskan. Bila saya pulang lewat dari pejabat, macam-macam spekulasi dia tuduh saya ada lelaki lain. Saya mahu pegi company trip setahun sekali pun dia tidak izinkan. Dia kata saya mahu menyundal, perempuan sial dan tidak pandai jaga suami. Sampai bergaduh besar. Saya sudah dua kali minta cerai cara baik dari dia, tapi dia sibuk ugut mahu ambik anak-anak.
Inikah balasan yang sepatutnya saya terima? Tolonglah beri pendapat. Kalau ikutkan hati saya, memang penceraian adalah jalan yang terbaik.