Setelah solat dan makan tengahari di rumahnya, aku bersama keluarga bercadang membeli beberapa keperluan di Bukit Kayu Hitam sebelum balik ke Kuala Lumpur. Kami memasuki kawasan bebas cukai yang terletak hanya 150 meter dari pintu masuk ke negara Thailand.
Sementara menunggu anak-anak dan isteri-isteri meninjau barangan yang hendak dibeli di situ, aku menunggu di dalam kenderaan bersebelahan stesen teksi yang mengangkut penumpang masuk ke Thailand.
Peluang bertegur sapa dengan seorang pemandu teksi di situ membuka satu topik yang menarik: (aku petik dialog yang berlaku dalam loghat utara; semoga pembaca dapat memahaminya).
“Ramai ka penumpang masuk Thai la ni” aku bertanya pemandu teksi Hatyai itu dengan nada loghat Kedah pekat iaitu dengan mengangakan sedikit mulut pada sebutan “ka” dan “la”.
“Tak berapa ramai dah la ni” jawabnya yang sebelum itu memperkenalkan diri sebagai Bang Seman. Mesra orangnya.
“awat (kenapa) orang tak ramai?, takut bom ka?” aku menjolok lagi.
Bang Seman menggeleng-gelengkan kepala. Nampak gayanya dia tidak merokok, senanglah aku hendak bersembang panjang dengannya.
“La ni teksi banyak sangat, orang pula banyak guna kereta sendiri” gerutunya dengan nada sayu. “Terpaksa tunggu lama baru dapat penumpang” dia menyambung.
“Habis tu cukup ka nak bela anak bini dengan bawa teksi macam ni?” Aku cuba dapatkan maklumat baru. Rasanya mereka pasti ada kerja sampingan.
Dia memandang mukaku dengan agak selesa dan menjawab, “Bang Seman ni kira syukur juga la sebab anak-anak dah kerja, rumah tak kena sewa, duduk dengan orang rumah saja, tapi...”
“Tapi apa Bang Seman? Tanpa sedar aku memotong cakapnya, bertanya.
Bang Seman terus menyambung: “tapi kalau ada duit banyak buat rumah sewa laku sangat”!
“Sewa kat siapa?” Aku bertanya lagi
“Sewa kat orang Malaysia la! Siapa lagi!”
“Ohh! maksud Bang Seman orang Malaysia mai sini beli barang bermalam di sini, awat depa tak sewa hotel, hotel kan banyak‼”
Bang seman tidak menjawab persoalan yang aku nyatakan tadi. Dia menoleh memerhati ke kaunter penumpang, melihat-lihat ada atau tidak penumpang yang ingin menggunakan khidmat teksinya. Aku berdoa supaya dapat bersembang lagi dengannya. Ternyata taqdir menyebelahiku. Dia rupanya ingin bersembang panjang. Duduknya diperkemaskan lalu bercerita lanjut, “Sebenarnya macam ni, orang Malaysia ramai sangat sewa rumah kat sini. Depa sewa berbulan dan ada yang bertahun. Cuba kira kalau sebulan sewa RM500.00, setahun berapa? Ini rumah biasa saja 2 bilik tapi berebut orang Malaysia nak sewa”.
Aku tidak puas hati. Banyak sangat persoalan yang menerjang otakku.
“Maksud Bang Seman, rumah sewa tu kat mana? Kat Danok ni ka?”
“Ya la! kat sebelah Thai ni la. Kalau ada duit beli apartmen yang banyak tumbuh kat sebelah Thai ni, lepas tu sewa kat orang Malaysia. RM500.00 tu banyak‼”
“Orang Malaysia tu sewa untuk apa?” aku bertanya lurus.
Bang Seman merapatkan wajahnya kepada ku dan bercakap dengan nada lebih perlahan; “Depa simpan perempuan siam kat sebelah sini!” Ujarnya sambil matanya merenung tajam ke mukaku. “Depa takut bini depa tahu, hujung minggu depa masuk mai Danok semalam dua lepas tu balik la. Boleh tengok di tempat letak kereta apartmen yang depa duduk tu penuh dengan kereta plat Malaysia”. Sambungnya lagi.
(Aku tahu mereka masuk Thailand tanpa cop pasport. Itulah kebiasaannya bagi mereka yang hanya ke Danok membeli barangan atau melanggan pelacur. Justeru siisteri di rumah tidak akan tahu apa yang dilakukan si suami ketika ‘out station’).
Aku tidak terperanjat mendengar hal sebegini kerana pekan Danok sebelah Thailand ini memang sejak lama menjadi tempat perempuan Thailand mengumpan lelaki Malaysia. Tentulah pelacur! Lelaki Melayu, Cina dan India dari Malaysia berpusu-pusu datang di hujung minggu.
Tapi anehnya Bang Seman yang muslim ni teringin pula nak berbisnes rumah sewa untuk golongan sebegini. Dah rosak sungguh orang Islam Thailand ni fikirku. Apa pun aku sangat teruja kerana maklumat yang diberikan mengesahkan khabar-khabar tentang Danok yang ku dengar sejak kecil. Rupanya bisnes pelacuran ini tidak ada zaman gawat bahkan sentiasa berkembang.
“Ohh! jadi orang Malaysia simpan perempuan Thai di rumah yang mereka sewakan itu. Err berapa ramai agaknya yang buat kerja macam tu?” Aku bertanya lagi.
“Bang Seman rasa jumlahnya sekitar 500 ke 600 orang. Sebab bilik-bilik apartmen yang ada tu semua penuh dengan orang Malaysia yang sewa.”
“Ramaikah orang Melayu? Adakah depa berkawin?” aku bertanya, masih banyak lagi yang ingin ku ketahui.
Bang Seman menggeleng kepala, “Jumlah orang Melayu Bang Seman rasa dalam lingkungan 100 ke 200 orang juga. Kahwin ke tak kahwin ke Bang Seman tak tahu. Tapi yang lebih ramai tu bangsa Cina bahkan ada Cina Kuala Lumpur, Johor Baharu, Ipoh dan Penang. Orang Cina banyak yang meniaga. Depa tipu bini depa kata mesyuarat la, bisnes la. Orang Melayu yang kawin mungkin ada yang baik-baik, tak mahu buat jahat; depa kawin la. Tapi orang melayu kalau kerja makan gaji, tak banyak duit, tak boleh nak bela depa atau simpan depa.” Ujarnya lebih lanjut.
“Eh! mudahnya perempuan-perempuan siam tu setuju hidup macam tu” aku cuba mendapatkan reaksi lanjut dari Bang Seman.
Dia menjelaskan; “Perempuan siam yang ada kat sini, depa mai dari Chengmai, Cheng Rai dan lain-lain kawasan utara Thailand.. Depa tu pun bukan fikir apa tapi hanya fikir nak cari duit saja. Mak bapa jauh tak tanya anak kerja apa. Mak bapa depa pun tahu nak duit saja.”
“Banyaklah lelaki yang bela depa kena tanggung?” aku menjolok lagi.
“Memang banyak la, sebab semua kelengkapan rumah kena sediakan, baru perempuan siam tu mahu dengan depa. Semua depa minta baru. Serba lengkaplah dengan peti ais, tv, mesin basuh, katil, tilam, dapur dan lain-lain. Berpuluh ribu juga kena habis untuk lengkapkan rumah tu. Lelaki yang nakkan depa kena ikut apa depa nak. Kalau depa minta duit tak dapat, depa buat perangai. Ada lelaki Malaysia yang ‘putih mata’ sebab bila duit dah tak mampu diberi pada perempuan yang dibela tu, perempuan tu angkut semua barang pindah tempat lain. Tinggal rumah kosong. Kalau dah ada anak, dengan anak tu sekali hilang. Itu belum lagi depa minta duit untuk diberi pada keluarga di kampung. Ada pula yang tipu bila suami atau lelaki dia balik Malaysia, dia terima lelaki lain pula masuk rumah yang disewakan tu. Memang terukla lelaki Malaysia kena ‘cukur'." Bang Seman menjelaskan dengan panjang lebar.
Padaku Bang Seman mesti sangat teruja nak mendapatkan rumah untuk disewakan pada orang Malaysia sebab itulah maklumatnya lengkap. Tentu dia dah buat ‘kajian pasaran.”
Aku cuba mengacah dengan soalan nakal, “ Apa yang menariknya pada perempuan siam ni Bang Seman sampai orang Malaysia sanggup habis duit untuk dapatkan depa?”
Soalanku ini rupanya mengena. Bang Seman mengangkat mukanya memandang tepat ke mukaku lantas bercakap perlahan, “Ooooh mana boleh tahan dengan perempuan siam muda-muda. Itu yang sanggup habis duit. Sanggup mai dari jauh sebab tak boleh nak lupa layanan depa. Bini kat rumah mana reti nak layan hebat-hebat macam perempuan siam ni dok buat. Bang Seman pernah bawa seorang Cina tua dr Johor Baharu naik teksi bawa dia pi beli barang. Saya tak tanya pun tapi dia cerita sepuas-puasnya apa yang dia dapat dari perempuan yang dia bela. Dia kata bini dia dah tua tapi sejak mula kawin sampai tua, dia tak pernah rasa sehebat layanan dari perempuan siam ni. Beza bumi dengan langit. “aiiyyyo tarak boleh lupa maa... balik seminggu mau datang lagi sini maa.” Bang seman meniru loghat bahasa Cina tua yang diceritakannya itu.
Aku rasa banyak lagi yang boleh aku korek dari Bang Seman tapi rasanya sudah cukup maklumat yang aku dapat. Aku bersalam dan mengucapkan berbanyak terima kasih pada Bang Seman kerana kemesraannya menjadikan aku dapat mengambil banyak infomasi.
Dari jauh kelihatan keluargaku sudah keluar dari pintu hadapan Kompleks Bebas Cukai Bukit kayu Hitam. Aku memandu perlahan untuk mengambil mereka.
Sepanjang perjalanan balik ke kuala Lumpur, setelah anak-anak semuanya tidur keletihan, aku bersembang-sembang dengan isteri-isteriku mengenai perkara tadi. Kami bersyukur kerana Abuya telah mewarnakan rumah tangga kami dengan rumah tangga poligami.
Semoga Tuhan jadikan lakarannya semakin indah dari hari ke hari. Inilah penyelesaiannya yang masyarakat umum masih gerun untuk memahaminya walaupun secara realiti ramai suami ‘memadukan’ isteri mereka dengan para pelacur...Pelacuran dan penzinaan akan terus mengambil tempat - sebagai alternatif - di hati para lelaki yang tidak puas menikmati seks dengan pasangannya yang ‘sah’ menurut agama masing-masing.
Lelaki yang tidak beriman akan tenggelam dalam hiburan fitrah yang dilaknat Tuhan. Para isteri yang tidak mahu memperbaiki serta meningkatkan cara dalam melayan keinginan seks suami akan terus merasakan suram dan lesu hubungan kasih sayang mereka. Hiduplah dalam kepura-puraan kerana masing-masing memilih untuk saling tidak mahu memahami.
Tuhan telah perkenalkan poligami sebagai wadah untuk suami yang baik menikmati kepuasan seks yang suci dari empat orang isteri. Manakala isteri yang menerima poligami pula akan tetap menerima kasih sayang suami.
Apapun yang berlaku, poligami sebenarnya hanya untuk mereka yang mahu mendapatkan cinta Allah dan Rasulullah saw. Tanpa Allah dan Rasul, ke manakah poligami dan rumah tangga ingin di bawa? Terimakasih Ya Saiyidi dan Abuya kerana menjadikan poligami sebagai medan untuk kami diletakkan membela seks suci lagi indah dari Tuhan. Sekian.