Gadis Maut Jatuh Bangunan Selepas Diserang Sawan


Kuching – Hasrat seorang gadis untuk bertemu bapanya di bandar raya ini tidak kesampaian apabila dia ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan rumah kedai di Jalan Keretapi di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4 petang itu, Nurul Faizura Syahira Mohammad, 19, dari Kampung Sambir, Asajaya, dekat sini, terjatuh dari balkoni rumah sewa bapanya selepas diserang sawan secara tiba-tiba.
Akibat kejadian itu dia parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada jam 6 petang.
Bapa mangsa, Mohammad Dan, 49, yang juga pengawal keselamatan berkata, anak kedua daripada empat beradik itu datang ke bandar raya ini bersama bapa saudaranya Sabtu lalu semata-mata untuk bertemunya kerana kali terakhir berjumpa pada Aidilfitri lalu.
Katanya, Nurul Faizura Syahira ada menghubunginya sebaik tiba di rumah sewanya dan dia mengarahkan anak gadisnya itu naik ke rumah terlebih dulu kerana dia masih bekerja. –