HIP Panas Sepanjang Minggu: Rita, Aidil tuduh menuduh

Foto
Rita bersama anaknya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Rafqa Arjuna.
‘Perang’ rumah tangga aktres, Rita Rudaini dan pemain bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Aidil Zafuan Abdul Radzak terus-terusan menjadi sensasi dan perhatian masyarakat. Situasi panas itu berlanjutan dari penghujung Ramadan hingga Syawal ini.

Dek kelantangan Rita bersuara mengenai rumah tangganya, Aidil hilang sabar dan dikatakan melafaz cerai melalui SMS tiga hari sebelum Aidilfitri menjelma. Rita terus bersuara dan seperti mana luahan kenyataannya dalam sisipan B*Pop (BH Ahad) bertarikh 18 Ogos. 

Aidil juga bangkit bersuara termasuk meluahkan isi hatinya di laman Twitternya. Aidil juga menerusi laman berkenaan meminta Rita tidak membabitkan keluarganya dalam kemelut mereka dan berharap Rita mencermin diri dulu sebelum mengatakan dirinya cetek agama. Apa yang dilihat, pasangan ini nampaknya suka saling tuduh menuduh memburukkan satu sama lain menerusi lama maya dan memberi kenyataan media. 


Menariknya, Rita turut berbalas kenyataan di laman Twitternya pula dengan menuduh Aidil ‘meroyan’ dan ‘gilakan publisiti’.


Cerita palsu


Tak ketinggalan pada awal Syawal turut dikejutkan cerita palsu di laman Instagram yang mengaitkan Rozita Che Wan dan Zain Saidin kononnya sudah bertunang. 
Semuanya terjadi apabila Zain beraya ke Alor Setar di rumah keluarga Rozita.

Ada peminat yang memuat naik gambar dirinya yang diambil bersama Zain serta Ayu Raudhah dan menulis hash tag #MajlisPertunanganRozitaCheWandanZainSaidin. Sedangkan dalam gambar itu Rozita langsung tak kelihatan.

Sebenarnya, pasangan bercinta itu yang dijadualkan melangsungkan perkahwinan pada Disember ini memang tidak merancang untuk bertunang dan memilih untuk bernikah saja. Rozita turut mempersoalkan apa motif lelaki itu berbuat demikian hingga mencetuskan spekulasi.

Dalam kehangatan Syawal diraikan, Anugerah Lawak Warna anjuran Astro turut berlangsung, baru-baru ini, di Istana Budaya bertujuan mengiktiraf kerja insan seni atas paksi karya komedi.

Daripada 16 kategori dipertandingkan, Istanbul Aku Datang meraih empat kategori iaitu Filem Terbaik, Pelakon Komedi Wanita Terbaik Filem (Lisa Surihani), Lakon Layar Komedi Filem Terbaik dan Pengarah Komedi Terbaik (Bernard Chauly).


Yusuf Haslam jalani pembedahan


Selain itu berita penerbit dan pengarah filem, Datuk Yusof Haslam yang dimasukkan ke hospital pagi Isnin lalu dan menjalani pembedahan membuang batu karang di Hospital Pakar KPJ Tawakal turut menjadi perhatian.

Yusof dikejarkan ke hospital itu kira-kira jam 9 pagi Isnin selepas mengadu sakit pada bahagian perut ketika bangun pagi untuk solat Subuh, selain mengalami kencing berdarah. Semoga keadaan Datuk Yusof kembali stabil.