Balasan Isteri Curang Sewaktu Mengandungkan Anak Kekasih Gelap


Pagi itu, seperti biasa Maizatul berumur 26 tahun melangkah masuk ke pejabat dengan penuh gaya. Walaupun hanya memegang jawatan kecil di sebuah syarikat rawatan kecantikan, tetapi lagaknya saling tidak tumpah seperti pengarah syarikat.

Sikapnya itu, bukan sekali dua menimbulkan perasaan jengkel di hati teman-teman setugasnya. Pun begitu, Maizatul tidak pernah mengendahkan apa juga umpat keji teman-teman sepejabatnya itu. Apa yang penting, hatinya bagaikan merak kembang petang setiap kali Radzi, 42 Pengarah Urusan syarikat itu memujinya. Sebenarnya, dia sudah lama memendam perasaan terhadap majikannya itu. Tetapi disebabkan isteri majikannya itu turut menjadi “orang kanan” di syarikat itu, niatnya itu dipendam begitu saja. Namun apabila ada peluang dia pasti akan berusaha menggoda. Maizatul bagaikan lupa, bahawa dirinya sudah pun bergelar isteri orang yang punyai tiga anak. Impian untuk menawan hati majikannya yang kacak itu tidak pernah padam sebaliknya semakin membara dari hari ke hari.

Demi mencuri hati lelaki impiannya itu, Maizatul sanggup berhabis sakan. Pakaiannya yang tersalut ditubuhnya, dipastikan “up to date”, mengghairahkan dan mendapat perhatian Radzi. Kalau umpan sudah tersedia, masakan pancing tersadai lesu. Melihatkan lagak Maizatul itu, iman Radzi entah ke mana. Tanpa pengetahuan isterinya, dia sering menghubungi telefon bimbit Maizatul. Respon daripada Radzi itu, benar-benar membuatkan Maizatul bagaikan berasa di atas awan. Tambah pula bila mendengar pujuk rayu yang penuh kata-kata romantis dan memberahikan daripada lelaki idamannya itu.

Tiga bulan lamanya, mereka berdua menjalinkan hubungan sulit tanpa pengetahuan sesiapun. Mereka berdua bijak sekali menyembunyikan hubungan sulit itu daripada pengetahuan orang lain, terutama isteri Radzi dan pekerja di syarikat kecantikkan itu.

Sepanjang perhubungan mereka itu, bukan sekali dua Radzi mencuit tubuh gebu Maizatul. Cuma Maizatul saja yang buat-buat jual mahal. Rancangannya, dia mahu Radzi rasa tercabar dan berusaha untuk menakluki dirinya. Dan petang Sabtu itu, akhirnya Maizatul jatuh juga dalam dakapan Radzi. Petang itu Maizatul sengaja pulang lewat. Kebetulan, dia perlu menyediakan beberapa fail untuk dibawa ke meja mesyuarat.

Walaupun kerja itu bukan di bawah tanggungjawabnya, namun Maizatul rela hati untuk melakukannya. Tanpa pengetahuan sesiapun, rupa-rupanya dia dan Radzi sudah merancang untuk bertemu selepas waktu pejabat di syarikat itu. Tambah memudahkan rancangan, isteri Radzi pula tidak ada kerana mengikuti kursus rawatan kecantikkan di Pulau Pinang selama lima hari. Maka, melonjak riang kedua-dua pasangan “kekasih” itu.

Petang itu, kedua-duanya melunaskan “hajat” mereka tanpa rasa bersalah dan berdosa. Sebaliknya, mereka berdua tersenyum kepuasan. Dan sejak peristiwa petang itu, mereka semakin kerap “bersama”. Maizatul benar-benar seorang “pelakon” yang hebat. Di rumah, dia tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. “Keperluan” suaminya tidak pernah diabaikan, kerana dia tidak mahu suaminya mensyaki apa-apa.

Walaupun suaminya sering kurang senang dengan cara dia berpakaian apabila ke pejabat, namun dia pandai memberi alasan. Namun Maizatul lupa akan sesuatu yang pasti. Ya! Sepandai-pandai tupai melompat, suatu hari akan jatuh ke tanah juga. Suatu hari, seorang pekerja di syarikat itu terserempak dengan mereka berdua di sebuah restoran makanan segera. Maizatul dan Radzi terkejut tapi, mereka cuba berlagak biasa. Maizatul sudah dapat mengagak pasti akan kecoh di pejabat kelak.

Namun, dia bagaikan tidak percaya bila tiada seorang pun yang membuka cerita tentang hal itu. Dalam diam, dia menjeling ke arah Ros yang terserempak dengannya itu. Namun air muka sahabatnya itu seperti biasa. Tiada sebarang tanda kecurigaan di wajah itu.

Ditakdirkan, beberapa bulan kemudian Maizatul disahkan mengandung. Orang yang paling gembira, tentulah suaminya sendiri. Sebaliknya Maizatul jadi bingung, anak siapakah yang dikandungnya itu, anak suaminya atau anak Radzi?

Apa yang membuatkan dia sedih tidak keruan, Radzi seolah-olah cuba menjauhkan diri daripadanya sejak berita kehamilannya diberitahu. Ada saja alasan setiap kali dia ingin menemui Radzi. Malah Radzi sudah mula memarahinya dan tidak melayannya semesra dulu.

Bulan berganti bulan, perut Maizatul semakin sarat. Begitu jugalah kebimbangan yang bergolak di jiwanya saat itu dan hanya Tuhan saja yang tahu betapa derita perasaannya ketika itu. Tambah memilukan, dia dilayan bagaikan minyak yang penuh oleh suaminya. Dia tidak langsung dibenarkan membuat kerja-kerja berat. Suaminya itu bimbang kandungannya akan keguguran, maklumlah sudah lima tahun dia tidak mengandung sejak melahirkan dua orang anaknya itu.

Rasa bersalah dan berdosa semakin menghimpit dadanya, semakin baik layanan suaminya itu, semakin derita perasaan Maizatul. Walaupun belum terbukti anak yang dikandungnya itu adalah anak Radzi, tapi dia seolah-olah pasti anak itu benih Radzi. Kerana, sebelum dia mengadakan hubungan intim dengan lelaki itu, hubungan kelaminnya bersama suami tetap berjalan seperti biasa, namun satu pun tidak “lekat”. Jadi, tidak syak lagi benih itu adalah kepunyaan Radzi, “kekasih gelapnya” itu.

Tiba harinya, Maizatul di masukkan ke wad bersalin. Meskipun waktu untuk melahirkan telah sampai, namun kandungannya seperti enggan keluar walaupun puas usaha untuk mengeluarkannya dilakukan. Derita Maizatul benar-benar menyedihkan si suami. Dia berdoa pada Tuhan, agak beban berat isteri tercinta diringankan. Dia tidak sanggup melihat isterinya mengerang kesakitan.

Sedang Maizatul mengerang kesakitan, dia menyeru nama suaminya dengan penuh kepayahan. Dengan linangan airmata, Maizatul menceritakan segala rahsia sulitnya dan memohon kemaafan daripada si suami. Dan mendengar berita itu, si suami bagaikan dipanah petir. Siapa yang tidak terseksa batinnya, apabila isteri yang dicintai sepenuh hati berlaku curang. Malah, sanggup ditiduri lelaki lain dan sedang berperang nyawa untuk melahirkan hasil hubungan sulit mereka itu.

Namun, Maizatul terus merayu-rayu. Dan hati kecilnya tidak sampai hati melihat keadaan Maizatul ketika itu. Sebagai seorang manusia, dia masih mempunyai perikemanusian. Sejurus lafaz maaf disebut dibibir si suami, kandungan Maizatul meluncur keluar dengan mudahnya dan saat itu jugalah si suami rebah ke lantai. Maizatul yang masih dalam kesakitan, tergamam dengan keadaan itu. Namun keadaan dirinya yang lemah, membuatkan dia sendiri tidak sedarkan diri.

Selepas dua minggu di hospital, Maizatul dibenarkan pulang. Keadaanya seperti tidak siuman, dia hanya diam dan sesekali ketawa walaupun ketika itu diberitahu si suami sudahpun meninggal dunia saat dia selamat melahirkan anak.

Kini, Maizatul dirawat di rumah sakit jiwa dan tiga orang anaknya itu dijaga oleh ibu bapanya di kampung. Walaupun tidak ramai yang tahu apa puncanya dia jadi gila, namun hanya seorang saja tahu sebab musababnya. Iaitu teman sekerja Maizatul yang tahu akan hubungan sulitnya dengan Radzi.

Sesungguhnya balasan Allah itu amatlah pedih kepada mereka yang mengingkariNYA.