SEJUK hati kami membaca kenyataan pelakon, Diana Amir, 27, mengenai persiapan pernikahannya yang akan berlangsung pada 25 Oktober depan.
Memilih pensyarah, Mohd. Habib Bullah A. Rahman, 26, sebagai pasangannya, tiada dulang hantaran yang akan dipersembahkan pada majlis bertemakan ‘crystal garden’ itu nanti, memetik laporan GUA.
Menurut Diana, nikah merupakan perkara mudah dan dia tidak mahu menyusahkan pasangannya.
“Hanya senaskhah Al-Quran, cincin dan mas kahwin. Kami hanya ingin mengetengahkan ajaran Islam,” jelasnya.
Ditanya mengenai pilihan hatinya itu, Diana berkata, ilmu agama yang dimiliki Mohd. Habib menjadikan dia yakin tunangnya itu mampu membimbingnya suatu hari nanti.
“Walaupun dia bukan seorang ustaz tapi dia pernah belajar di Maktab Mahmud.
“Dia juga sering menjadi semangat ketika saya melalui saat-saat sukar,” ujarnya.
Bagus sekali cara Diana ini. Bukan wang ringgit dan kemewahan majlis yang menjadi ukuran kebahagiaan, tetapi ilmu agama yang dipraktikkan dalam rumahtangga nanti.
Kami harap pernikahan pasangan ini dapatlah dijadikan contoh buat bakal pengantin di luar sana.