Kuala Lumpur: Simpati dipinta tapi tangan dan kaki yang diterima. Itu nasib malang seorang wanita hamil selepas mengalami turun darah apabila dia bukannya dikasihani, malah dibelasah suaminya hingga dia akhirnya keguguran.
Kejadian berlaku di rumah pasangan terbabit di Setapak, di sini, kira-kira jam 10 malam Sabtu lalu, sebelum wanita yang baru hamil dua bulan itu turut dihalau dari rumah bersama dua anak yang masih kecil.
Sumber polis berkata, mangsa yang berusia 35 tahun sebelum ini berstatus janda beranak dua dan berkahwin dengan suami barunya itu kira-kira enam bulan lalu.
Menurutnya sumber, ketika mangsa memberitahu dia hamil, suaminya yang berusia lewat 30-an itu amat gembira kerana bakal menimang zuriat sendiri.
“Bagaimanapun, suspek pernah mengugut untuk memukul dan mencederakan mangsa sekiranya kandungannya itu mengalami sebarang masalah.
“Dia berbuat demikian kerana mahu memastikan mangsa melahirkan anak daripada darah dagingnya sendiri,” katanya.
Sumber itu berkata, sebab itulah apabila mangsa memberitahu dia mengalami pendarahan, suspek naik marah dan terus mengasari mangsa.
Anehnya, kata sumber itu, sebelum membelasah mangsa lelaki terbabit terlebih dulu membawa mangsa ke klinik untuk menjalani pemeriksaan.
“Bagaimanapun, sejurus tiba di rumah, suspek terus menghamburkan kata-kata kesat dan menuduh mangsa tidak pandai menjaga kandungannya dengan baik.
“Malah, suspek turut menuduh mangsa sengaja tidak menjaga kandungan disebabkan dia sudah ada dua anak hasil perkahwinan sebelum ini,” katanya.
Sumber itu berkata, berikutan tuduhan melulu suspek, berlaku pertengkaran di antara kedua-dua mereka sebelum mangsa dibelasah bertubi-tubi.
“Mangsa dipukul hingga terjatuh dan supek hampir memijak perutnya. Selepas puas memukul mangsa, suspek kemudian menghalau mangsa keluar dari rumah.
“Malah, suspek sekali lagi mengugut akan mencederakan mangsa jika mangsa mengalami keguguran,” katanya.
Berikutan itu, katanya, mangsa yang dalam kesakitan terpaksa keluar dari rumah bersama dua anaknya berusia tiga dan lima tahun dan menumpang di rumah saudaranya yang terletak tidak jauh daripada rumahnya.
“Keesokannya, mangsa ke klinik sama selepas pendarahan tidak henti-henti dan doktor kemudian mengesahkan dia mengalami keguguran,” katanya.
Sumber itu berkata, bimbang suspek akan mencederakannya lagi, suspek membuat laporan di Balai Polis Setapak, di sini, pada hari sama dan Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan itu.