4 lelaki rogol pelajar perubatan dijatuhi hukuman mati



Empat lelaki yang merogol seorang pelajar perubatan di dalam sebuah bas sehingga menyebabkan kematiannya di sini pada Disember lalu, dijatuhi hukuman mati.

Hakim Yogesh Khanna yang mendapati kesemua defendan bersalah di atas dakwaan merogol berkumpulan dan membunuh pada awal minggu ini, menolak rayuan pihak pembelaan untuk dikenakan hukuman lebih ringan.

Seorang peguam bela, A.P. Singh di luar mahkamah berkata, semua defendan dikenakan hukuman mati.
Mangsa yang merupakan pelajar perubatan berumur 23 tahun dirogol dan diseksa dengan sebatang besi berulang kali oleh lima lelaki dan seorang remaja.

Kecederaan yang dialaminya menyebabkan mangsa meninggal dunia dua minggu kemudian.
Seorang daripada lima lelaki yang ditangkap berhubung kejadian itu, membunuh diri dalam penjara pada Mac lalu, manakala remaja berkenaan dikenakan hukuman pemulihan selama tiga tahun pada bulan lepas.
Keputusan itu masih boleh dirayu di Mahkamah Tinggi Delhi dan Mahkamah Agung dan ia dijangka memakan masa bertahun-tahun untuk selesai. -