Faizal Ismail Jawab Kenapa Dia Berhenti
Minggu lepas ramai yang terkejut dengan perletakkan jawatan Faizal Bin Ismail atau lebih dikenali sebagai FBI sebagai penyampai radio Hot FM. Ramai yang tertanya-tanya samada ini hanya gimik ataupun serius. Jika serius apa pula puncanya, adakah beliau akan berpindah ke stesyen lain?
Semuanya terjawab apabila FBI mengadakan sidang media khas yang diadakan semalam di Restaurant Marche, The Curve. Sebelum itu beliau tidak lupa untuk memohon maaf diatas kesulitan yang dialami oleh pihak media. Bukan sengaja mahu mengelak, namun dia ada sebab tersendiri untuk tidak memberikan apa-apa ulasan. Antaranya sebagai menghormati pihak tempatnya bekerja sekarang.
Berikut jawapannya:
“Pertama sekali, saya memohon maaf kerana selepas membuat pengumuman peletakan jawatan pada 24 Oktober lalu, saya gagal dihubungi pihak media. Ini kerana saya mahu menghormati pihak tempat saya bekerja yang juga terkejut dengan keputusan saya.
“Saya letak jawatan bukan kerana tawaran lumayan daripada stesen radio lain! Tindakan ini dibuat bukan kerana saya lebih tertarik dengan tawaran stesen radio lain atau mempunyai masalah dengan Hot FM. Dalam masa terdekat ini, saya tidak akan terima sebarang tawaran bekerja dengan stesen radio lain. Jadi, spekulasi mengenai peletakan jawatan saya kerana ingin beralih angin adalah tidak benar.
“Saya memang mengambil keputusan untuk meninggalkan stesen radio Hot FM tetapi bermula Disember ini saya akan kembali ke stesen itu sebagai penyampai sambilan sahaja. Saya akan ke udara pada hujung minggu sama ada Sabtu atau Ahad. Saya mengambil langkah ini untuk memberikan tumpuan kepada perniagaan yang saya jalankan iaitu FBI Entertainment yang saya usahakan bersama isteri. Saya mahu pecahkan kepompong, luaskan pengalaman dan mencabar diri untuk terlibat dalam bidang perniagaan pula dan saya mahukan perubahan dalam hidup.
“Selepas ini, perniagaan adalah keutamaan. Setakat ini, saya tidak berminat langsung untuk ke stesen radio lain seperti yang diperkatakan ramai. Bagaimanapun saya masih mengacarakan rancangan televisyen seperti biasa".