Bunuh suami selepas seminggu kahwin

Missoula: Seorang wanita yang baru seminggu berkahwin didakwa kelmarin kerana membunuh suaminya dengan menolaknya dari sebuah tebing di Taman Negara Glacier ketika bertengkar. 

Dokumen tuduhan menyatakan Jordan Linn Graham, 22, ragu-ragu untuk berkahwin ketika mayat suaminya, Cody Lee Johnson, 25, dari Kalispell, ditemui. 

Bertengkar 


Graham memberitahu seorang ejen FBI bahawa dia dan suaminya bertengkar pada 7 Julai lalu ketika mereka berjalan di kawasan Loop Trail di taman itu. 

Pada satu ketika, dia berpatah balik, namun Johnson merentap lengannya, kata tertuduh. 

Dia berpusing, meleraikan pegangan tangan suaminya dan “akibat berang, dia menolak Johnson yang membelakangkannya dengan kedua tangannya di belakang, mengakibatkan suaminya jatuh tersembam dari tebing,” kata satu afidavit. 

Dilapor hilang 
Johnson dilaporkan hilang 8 Julai lalu apabila dia gagal hadir ke tempat kerja. 

Graham kemudian melaporkan dia menjumpai mayat suaminya. 

Graham membuat kemunculan awal di mahkamah kelmarin di hadapan Majistret Jeremiah C Lynch atas tuduhan pembunuhan darjah kedua. Dia kini ditahan. 

Peguamnya, Andrew Nelson, enggan mengulas. 

Keluarga Johnson dan rakan lega selepas menggesa siasatan dijalankan sejak mayatnya ditemui pada 12 Julai lalu. 

“Dua bulan mungkin tidak terlalu lama untuk FBI menyiasat, namun apabila anda menunggu jawapan, ia terlalu panjang,” kata rakan keluarga, Tracey Maness. 

Maness berkata Johnson teruja dengan perkahwinannya dan mencintai Graham.