Syazwan kesal dituduh bercinta dengan Nabila

Syazwan kesal dituduh bercinta dengan Nabila
Pelakon Syazwan Zulkifli kesal ada peminat sengaja mencetuskan spekulasi konon dia menjalin hubungan istimewa dengan Nabila Huda selepas mereka terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Karak, Ahad lalu. 

Syazwan yang memandu kenderaan pacuan empat roda (4x4) pada hari kejadian, mempersoalkan motif peminat menyebar dakwaan itu sedangkan mereka keluar bersama kerana memenuhi komitmen tugas. 

Menurutnya, dia dan Nabila berada di Kuantan bagi memenuhi permintaan Astro yang mahu mereka mempromosikan drama Jodoh Itu Milik Kita pada program jelajah Gempak Astro. 


“Lagipun ini bukan kali pertama kami pergi ke mana-mana lokasi bersama. 

Cuma nasib tidak baik apabila kami ditimpa kemalangan. 

Membuat spekulasi 

“Hanya kerana kemalangan itu, peminat sesuka hati membuat spekulasi sedangkan kami memang akrab. Saya mula berkawan dengan Abil sejak dia baik dengan Johan. Takkanlah disebabkan kami terbabit dalam kemalangan, dengan mudahnya kami dituduh bercinta,” katanya kepada HIP. 
Syazwan berkata, dia bertambah kesal apabila ada pihak menuduhnya mabuk ketika kemalangan itu berlaku. 

“Secara logik, takkanlah saya mabuk pada siang hari apatah lagi saya membawa nyawa orang dalam kereta,” katanya yang mengaku masih dirundung rasa bersalah kerana menyebabkan anak Nabila, Keisha Laila, cedera dalam kemalangan itu. 

Namun, Syazwan bersyukur kerana Tuhan melindungi mereka. 

Menurutnya, jika melihat keadaan kenderaan miliknya, tentu ramai yang tidak menyangka mereka terselamat. 

Ada alasan tak tegur Zaidy, Amy Search 

Syazwan yang sedang bercuti selama seminggu, akur jika bekas suami Nabila, Zaidy Zailani, menyalahkan dirinya dalam kejadian itu. 

Sebagai bapa, katanya, Zaidy berhak berasa bimbang dengan keadaan anaknya. 

“Jika saya berada di tempat Zaidy, tentulah saya risau kerana membabitkan nyawa anak saya. 

Setakat ini, saya belum berdepan atau menghubunginya untuk minta maaf. Saya cuma sempat memohon maaf kepadanya menerusi Twitter. 

“InsyaAllah apabila keadaan sudah reda, saya akan mengajak Nabila berjumpa dengan keluarganya untuk memohon maaf secara peribadi. Saya berasa bertanggungjawab dan masih dirundung rasa bersalah berikutan kemalangan itu,” katanya.