Adi Putra Mengaku Mencium Dahi Rita Rudaini

Mungkin ada yang tidak tahu sebuah lagi drama adaptasi novel akan menggantikan drama Adam dan Hawa yang sudah sampai ke episod akhir seminggu lepas. Drama yang dimaksudkan ialah Sehangat Asmara, diadaptasi dari novel dari judul yang sama tulisan Aisya Sofea.



Drama ini ialah gandingan pertama Adi Putra dan Rita Rudaini akan mula ditayangkan 21 Januari ini pukul 10.00 malam di Astro Mustika HD. 

Pelakon lelaki yang semakin mendapat tempat dihati penonton, Adi Putra mengakui selesa akan sikap Rita Rudaini kerana aktres itu bersikap terbuka dan memberi kerjasama dalam melakukan babak-babak romantis bagi menjayakan drama bersiri terbaru mereka, Sehangat Asmara.

 “Rita Rudaini profesional, jadi tidak menjadi masalah apabila ada babak yang memerlukan saya mencium dahi dan mendukungnya. Ia cukup memudahkan kerja saya menjayakan watak suami isteri bersamanya,” katanya kepada wartawan sebuah akhbar tempatan.

Rita Rudaini memegang watak Kamilia Najwa manakala Adi Putra memegang watak Zainal Arief. Ia merupakan sebuah kisah pandang pertama antara mereka yang memutikkan cinta dan berakhir dengan perkahwinan di London tanpa restu keluarga.