Penglibatan selebriti dalam bidang sukan yang semakin berkembang pada masa kini mampu mengalihkan skeptikal negatif tentang dunia hiburan yang selalu dianggap hanya bertumpu kepada gosip. Artis pada dasarnya mampu memberi anjakan paradigma dalam bidang sukan apabila penglibatan mereka boleh menarik perhatian generasi muda untuk memilih sukan sebagai aktiviti masa lapang kerana terpengaruh dengan cara hidup sihat idola mereka.
MENGIKUT Kamus Dewan Edisi Keempat, sukan ditafsirkan sebagai segala kegiatan yang memerlukan ketangkasan atau kemahiran serta tenaga yang dilakukan sebagai acara hiburan.
Mendasari tafsiran maksud sukan itu sendiri, ia telah membawa satu signifikan antara sukan dan hiburan iaitu sukan adalah riadah dalam bentuk hiburan.
Justeru, sekiranya seseorang selebriti itu bersukan, sebenarnya mereka sedang melakukan acara hiburan.
Maka, apabila melihat sekumpulan selebriti yang terdiri daripada Hattan, Tomok, Zahid, RAbecca Nur Al Islam, Amylea, Zarina, Kamal Adli, Shahz Jazle, Farish Aziz, Roslan Shah, Fizo Omar, Intan Ladyana, Chaq, Razali Hussein, Nine dan ramai lagi menggegarkan lapangan futsal dengan kredibiliti mereka sempena Kejohanan EPLx Kosmo! Football Fever 2010 edisi kedua di Sports Planet Subang Grand, Subang Jaya, Selangor hujung minggu lalu, ia sebenarnya satu kelangsungan antara 'dua dunia' itu.
Barisan artis tersebut bersama barisan penyampai stesen radio Hot FM yang diketuai Ketua Pegawai Operasi Radio Media Prima, Seelan Paul nyata telah berjaya mencantumkan sukan dan hiburan dalam satu padang dengan berjaya.
Melihat barisan artis dan para deejay berentap di tengah padang dengan pertembungan yang cukup sengit, apatah lagi melihat hampir semua selebriti mampu menguasai sukan futsal dengan baik, ia memberi gambaran bahawa sukan dan hiburan memang boleh 'berkahwin'.
Pada majlis Kejohanan EPLx Kosmo! Football Fever 2010, barisan artis tersebut telah menyerlahkan kredibiliti mereka sebagai selebriti sukan.
Dua pasukan yang dibentuk artis iaitu pasukan artis senior dan junior membuktikan bahawa mereka bukan sekadar jaguh pentas atau layar kaca. Sebaliknya, juga jaguh padang.
Masakan tidak, kedua-dua pasukan artis telah membenamkan lawan mereka iaitu pasukan Hot FM dan Media Kosmo! untuk berentap sesama sendiri bagi merebut gelaran juara.
Biarpun akhirnya keputusan berpihak kepada pasukan artis senior dengan kemenangan 4-2 menumpaskan pasukan artis junior, barisan selebriti tersebut sama hebat.
Pasukan artis junior nyata menyerlah dengan permainan 'bersih' mereka. Tomok menjadi hero artis junior apabila menjaringkan semua gol dalam dua perlawanan menentang pasukan Hot FM dan artis senior.
Sementara, Hattan yang begitu rileks di padang juga menjadi artis paling senior yang menjaringkan gol paling banyak bagi pasukannya. Zahid, Fizo Omar malah Zarina dan Rabecca sendiri memperkukuh jentera pasukan artis senior dengan skil masing-masing sehingga diangkat sebagai juara.
Bidang serius
Melihat kepada kesungguhan mereka di padang futsal, ia memberi gambaran bahawa selebriti tempatan bukan sahaja mahu disimbahi glamor. Namun, sukan turut dianggap sebagai satu bidang yang serius.
Hattan yang menjadi artis paling senior kerana hadir bermain futsal bersama barisan artis junior saat ditanya tentang persepsinya mengenai relevan dunia sukan dan hiburan menekankan bahawa sukan amat penting dalam kehidupan seseorang.
Menurutnya, sukan adalah pintu meningkatkan stamina untuk menyanyi dan berlakon.
"Tapi kalau nak cakap soal relevannya sukan terhadap artis atau selebriti, saya suka melihat ia dalam skop yang lebih luas. Saya kira ahli sukan juga sekarang sudah menjadi selebriti, malah sama taraf macam artis," ucap Hattan yang cukup terkenal sebagai pencinta sukan golf sejak enam tahun lalu.
Mempunyai persepsi serupa dengan Hattan, juara Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Zahid yang sememangnya diketahui sebagai fanatik pasukan bola sepak Belanda, sangat gemar bermain futsal.
Menurutnya, sukan begitu dekat dengan dirinya. Bermain futsal sebanyak empat kali dalam seminggu, penyanyi yang bakal muncul dengan single terbarunya ini memberitahu, Tanpa sukan, kehidupannya tidak lengkap. Bersukan telah menjadikan aktiviti hariannya lebih produktif.
"Sebagai selebriti, kesibukan membataskan waktu kita untuk beriadah atau bersukan. Namun, saya sebagai pencinta sukan akan tetap mencuri masa untuk bersukan, terutamanya bermain futsal," katanya yang selalu bermain futsal bersama teman wanitanya, Nita.
Malah, kata Zahid perkembangan sukan futsal yang pesat di Malaysia telah memberi lebih banyak peluang untuk golongan pencinta sukan tersebut berkumpul dan beriadah. "Berbanding beberapa tahun lalu, perkembangan sukan futsal di negara kita memang cukup pesat.
"Cuma saya rasa kalau ada seorang individu yang boleh mengenengahkan lagi sukan futsal Malaysia ini ke tahap lebih tinggi seperti suka bola sepak, itu lebih baik," tegasnya yang turut berpendapat kemudahan pusat sukan futsal di negara sudah cukup baik.
Sementara, ditanya bagaimana selebriti mampu membantu bidang sukan, seorang lagi bekas pelajar AF Zarina memberitahu, penglibatan para artis terhadap bidang sukan mampu menjadi dorongan buat generasi muda untuk melakukan aktiviti sihat kerana terpengaruh dengan amalan sihat artis kesayangan mereka.
Katanya yang merupakan seorang penggemar aktiviti lasak: "Melalui saluran sukan, artis juga mampu mempengaruhi peminat mereka. Apabila mereka melihat artis kita mengamalkan cara hidup sihat, mereka juga akan terikut sama.
"Saya juga suka untuk menyatakan, jika orang selalu kata sesebuah negara itu maju kerana filem mereka, sebenarnya sesebuah negara itu juga maju kerana bidang sukan di negara mereka yang berkembang pesat."
Bercakap tentang budaya bersukan di Malaysia yang kini lebih cenderung kepada sukan secara 'bergaya' di dalam gim, berbanding sukan lasak di padang, pelakon seksi Rabecca Nur Al Islam berpendapat, sukan di gim bukan satu budaya.
Sebaliknya ujar Rabecca, sukan, biar di dalam gim atau di padang adalah satu cara penjagaan diri untuk mengekalkan kesihatan. Maka, setiap individu berhak memilih untuk bersukan di dalam gim atau di padang mengikut keselesaan.
"Sukan itu bukan satu budaya. Tapi ia satu amalan hidup sihat untuk semua orang. Selain mengambil vitamin atau mendapatkan tidur yang cukup misalnya, cara terbaik untuk mengekalkan cara hidup sihat adalah dengan bersukan," katanya yang memilih sukan renang sebagai amalan gaya hidup