Isu Tatu Palsu Diperbesarkan, Amanda Imani Terkejut - KUALA LUMPUR : Amanda Imani terkejut apabila tatu palsu yang dipakainya hanya untuk suka-suka diperbesarkan-besarkan oleh akhbar semalam.
“Salah seorang peminat saya menghantar keratan akhbar tentang isu tatu tersebut ke akaun Twitter saya, dan saya sendiri tidak sedar bahawa berita itu telah disiarkan semalam.”
“Saya merasakan perkara ini amat lucu kerana tidak menyangka isu tatu palsu tersebut akan diperbesar-besarkan.”
Di dalam akhbar tersebut, ditulis satu artikel bertajuk Tatu Kaki Amanda yang berkait dengan isu tatu palsu itu. Artikel itu juga dipercayai ditulis dalam ruangan gosip.
Amanda memberitahu bahawa tatu itu ialah pelekat tatu sementara yang diberikan oleh kawannya yang baru pulang sebagai buah tangan.
“Tatu palsu yang saya gunakan itu tidak tahan lama dan ia hanya mampu bertahan selama dua hari sahaja kerana ia akan luntur dengan sendirinya selepas beberapa kali mandi dan dibasuh,” katanya lagi.
Amanda akui bahawa dia tahu menjaga batas-batas sebagai seorang Islam dan akan menghindari diri daripada melakukan perkara-perkara terlarang seperti itu.
“Saya tidak akan mengambil hati jika sesiapa fikirkan itu betul kerana apa yang mereka lihat itu ialah pandangan pertama (first impression) mereka terhadap saya. Tetapi mereka perlu tahu saya masih tahu dan sedar tentang batas-batas sebagai seorang Islam dan tidak akan melakukan perkara seperti itu (memakai tatu kekal),” jelasnya lagi.
Oleh : MyArtis.My