Hafiz Hamidun yang sememangnya dikenali dengan lagu-lagunya yang berunsur dakwah yang moden, tidak kisah menceritakan tentang kisah cinta dan hasrat hatinya.
Pernah sebelum ini dikaitkan dengan beberapa wanita, Hafiz juga nampaknya reda apabila seorang wanita Indonesia yang menjadi pilihan hatinya rupa-rupanya sudah berpunya.
Terbaru, Hafiz yang sememangnya sudah lama menyuarakan untuk memperisterikan pendakwah bebas, Heliza Helmi. Namun yang peliknya, Heliza menafikan perkara ini kerana katanya, beliau tidak menerima sebarang berita mahupun risikan dari pihak Hafiz.
“Saya hanya menjawab soalan beberapa pihak yang bertanya saya. Saya kenal dia sejak 2008. Ramai yang kata kami sepadan. Jadi bila orang tanya tentang kami, saya katakan kalau ada jodoh saya tak menolak. Apapun saya menghormati apa saja keputusan dia”, kata Hafiz.
Hafiz tidak mahu dilihat sebagai terdesak oleh kerana sikapnya yang terbuka bercerita tentang pilihan hatinya.
Namun katanya, “Tahun ni, saya dah masuk 30 tahun. Bila tengok kawan-kawan yang sudah berkeluarga, saya rasa nak sangat melalui kehidupan seperti mereka. Saya akui saya terdesak. Terdesak nak ada keluarga sendiri.”
“Selama ni saya memang tak ramai kawan. Tapi sejak akhir-akhir ini saya dah semakin aktif di laman sosial twitter dan Facebook. Bahkan sekarang ni saya dah mula mengenali secara rapat beberapa gadis. Saya mencari seorang calon isteri yang boleh menerima, mencintai saya dan berkongsi kebahagian dengan saya.”
Begitu kisahnya rupanya. Tidak mengapalah, Hafiz. Kami pasti akan ada wanita yang sesuai untuk anda.
Mengikuti perkembangan terbaru beliau, Konsert Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun bakal diadakan pada 1 Februari ini bertempat di Spice Arena, Pulau Pinang. Ini merupakan konsert solo ketiganya, selepas dua konsert sebelum ini yang telah berjaya dianjurkan di Kuala Lumpur dan di Johor Bahru.