Afdlin Shauki Merajuk, Kutipan ‘Papadom 2′ Pencapaian Paling Teruk?

Khabarnya tahun lepas adalah tahun yang teruk untuk pencapaian dan kutipan filem-filem tempatan. Ramai juga pengarah yang kecewa dan tidak ketinggalan adalah Afdlin Shauki.
Filem pertamanya, Papadom telah berjaya meraih RM3.8 juta namun Papadom 2 yang baru saja ditayangkan hujung tahun lalu hanya berjaya membawa pulang RM620,000. Dengan ini, beliau menyifatkan ianya adalah pencapaian yang paling teruk dalam sejarah karier seninya sepanjang 15 tahun beliau melibatkan diri.
“Mungkin peminat Papadom sudah meninggal dunia (ketawa kecil) jadi, filem Papadom 2 tidak mendapat sambutan lagi,” ujarnya yang cuba sembunyikan kekecewaannya.
“Saya menyimpan Papadom 2, hampir dua tahun dan sebelum ini, saya teragak-agak untuk menghasilkan filem lagi setelah melihat masalah sambutan penonton terhadap karya tempatan.”
“Namun, ternyata usaha saya hanya sia-sia dan merugikan. Ketika tayangan perdana, saya ada menerima banyak maklum balas Papadom 2 lebih menarik daripada Papadom sebelum ini.”
Afdlin Shauki Merajuk, Kutipan Papadom 2 Pencapaian Paling Teruk?
Tambahnya, “Saya telah membuat keputusan, di mana filem ini merupakan filem terakhir saya untuk pasaran industri tempatan. Saya sudah tiada hati untuk menghasilkan filem tempatan lagi.”
Disebabkan perancangan untuk berhenti mengarah, beliau kini sibuk menguruskan perniagaan beliau yang menjual seluar pelikat dan beberapa produk lain termasuklah kek coklat berjenama Boboi.
“Sejujurnya, jual seluar pelikat lebih menguntungkan daripada buat filem tempatan,” ujarnya memerli.
Sabarlah, Afdlin. Kadang-kadang rezeki tidak menyebelahi sesuatu yang berkualiti dan bagus. Ada juga filem yang teruk kualitinya, tapi masih mendapat keuntungan yang luar biasa. Kami kagum kerana Afdlin masih menghasilkan produk yang bagus walau tahu penghargaan masyarakat Malaysia tidak boleh dijangka. Sekurang-kurangnya, industri seni Malaysia ada hasil yang boleh dibanggakan walaupun ianya tidak mengaut keuntungan.
Kami harap ramai penggiat seni yang tidak jemu hasilkan filem, drama, lagu dan apa saja yang berkualiti demi menjaga kredibiliti Malaysia dan bukan setakat mahu mengaut untung saja.