Bilik Judi Wanita

Blog zis
TAHAN… sebahagian kaki judi yang tangkap oleh anggota polis semasa Operasi D7 di Plaza Pudu.

 
KUALA LUMPUR: Bagi menarik tahi judi wanita, sebuah pusat judi Internet di Plaza Pudu, di sini, dikesan menyediakan bilik khas dilengkapi sofa merah jambu sesuai dengan warna kelembutan golongan berkenaan.
Bagaimanapun, taktik mereka terbongkar kelmarin hasil operasi Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya di enam premis judi Internet di kawasan berkenaan bermula jam 9.30 malam.
Operasi diketuai Superintendan Amir Rasid Derani itu membawa kepada penahanan sembilan tahi judi wanita, seorang daripadanya berusia lewat 50-an.
Amir berkata, hasil risikan pihaknya, enam premis berkenaan diserbu secara serentak dan ratusan alat komputer judi dirampas bersama wang tunai berjumlah RM4,979.
Menurutnya, siasatan mendapati sebuah daripada premis itu menyediakan suasana kondusif dan bilik khas selesa untuk kaki judi wanita.
“Pemilik premis sanggup menghabiskan wang menyediakan ruang berjudi eksklusif, selain menyediakan ruang berasingan antara lelaki dan wanita mengikut kesesuaian mereka.
“Selain itu, makanan seperti nasi lemak dan minuman disediakan kepada pelanggan bagi memastikan mereka berjudi lebih lama di premis itu,” katanya.
Beliau berkata, turut ditahan 10 penjaga premis dan puluhan tahi judi lelaki, manakala kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.