Sydney: Seorang ibu muda yang dituduh mengamalkan sihir dibogel, disimbah dengan petrol dan dibakar hidup-hidup di depan orang ramai, termasuk kanak-kanak sekolah, di Papua New Guinea.
Wanita itu, Kepari Leniata, 20, dilapor diseksa dengan besi dan diikat sebelum di simbah dengan minyak dan dibakar di atas longgokan sampah dan tayar kereta.
Menurut akhbar Post Courier, dia dibakar penduduk kampung yang menuduhnya membunuh seorang budak lelaki berusia enam tahun dengan mengguna sihir.
Polis tidak dapat menghalang perbuatan berkenaan ketika kejadian kerana kekurangan anggota berbanding penduduk kampung yang ramai itu.
KAKI mangsa dapat dilihat di bawah tayar kereta ketika dia dibakar.
Kereta bomba yang datang selepas menerima panggilan mengenai kejadian yang berlaku di bandar Mount Hagen, juga diusir.
Menurut laporan akhbar berkenaan yang turut menyiarkan imej mayat wanita itu terbakar, dia mengaku membunuh kanak-kanak berkenaan yang mati selepas dimasukkan ke hospital kerana sakit perut dan dada, Selasa lalu.
Polis berkata, mereka menyifatkan kes itu sebagai pembunuhan dan sudah mengambil langkah untuk mendakwa mereka yang bertanggung-jawab.
Penduduk Papua New Guinea amat mempercayai sihir dan ramai tidak boleh menerima alasan semula jadi sebagai punca sakit, kemalangan atau kematian.
Polis berkata, puluhan penduduk ditahan tahun lalu berkait dengan kes pembunuhan seorang lelaki yang dituduh membunuh tujuh orang dan makan otak mereka sementara kemaluan mereka dijadikan sup.
Kes sihir dan kanibal di negara itu agak meluas beberapa tahun kebelakangan, termasuk satu laporan pada 2011 mengenai seorang lelaki memakan bayinya yang baru lahir. – AFP