Baru saja peminat hiburan tanah air menarik nafas lega dan hilang terkejut dek berita cinta Johan As’ari dan Lana Nordin, terbaru timbul satu lagi kisah kali melibatkan pasangan sama cantik sama padan, Qi Razali, 35 dan Nelydia Senrose, 19.
Hubungan mereka berdua dikatakan tiba-tiba bermasalah gara-gara Nelydia bergambar dengan Sharnaaz. Gambar tersebut telah dimuat naik oleh Sharnaaz di Instagram miliknya.
Ternyata apa yang lebih membuatkan bekas hos Jalan Jalan Cari Makan itu bengang dan kecewa adalah kerana kapsyen yang ditulis oleh Sharnaaz yang berbunyi, “Tak payah pening pening, dah depan mata” – menunjukkan seolah-olah dia dan Nelydia ada hubungan istimewa.
Sharnaaz Ahmad Tidak Tahu Apa Apa
Bagaimanapun Sharnaaz yang kami dapat hubungi sebentar tadi berkata, dia tidak mengetahui mengenai status Qi itu namun terkejut apabila mendengarnya.
Tambahnya lagi, kapsyen tersebut sebenarnya adalah dialog dari babak dalam drama yang kini sedang dilakonkan oleh dia bersama Nelydia yang berjudul, Bukan Kerana Aku Tak Cinta.
“Saya tak tahu apa-apa pasal status Qi. Saya terkejut. Nely tiada dengan saya sekarang. Ni pun tengah tunggu dia untuk penggambaran (drama) sekejap lagi”
“Gambar yang saya post tu adalah gambar kami kat set penggambaran & itu adalah dialog dalam drama tu. Saya tiada niat apa-apa. Saya cuma nak promosikan drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta. Itu saja niat saya”
“Saya faham perasaan Qi. Saya tak nak besar-besarkan cerita, sebab sekarang saya asyik kena game jer. Saya macam dah tak boleh rapat dengan sesiapa dah sekarang ni. Tapi tak apa lah, ini pun isu yang terakhir.
“Kalau dia (Qi) tak suka Saya minta maaf. Kejap lagi saya jumpa Nely, kalau dia suruh saya delete gambar tu, saya delete lah”, kata Sharnaaz yang sebelum ini pernah mengumumkan dia bakal bersara daripada dunia lakonan dalam masa terdekat ini.
Qi Razali Luah Perasaan Di Twitter
Sharnaaz menjelaskan sedemikian apabila diminta mengulas mengenai status Qi Razali yang ternyata cemburu gara-gara Sharnaaz bergambar bersama buah hatinya itu.
Pada pagi hari ini, Qi menerusi akaun Twitternya telah memuat naik beberapa status yang seakan meluahkan perasaan kecewa terhadap sesuatu.
Qi secara tiba tiba menulis kemaskini seperti “Celik- celik dah depan mata. Tak payah pening-pening dah. Good luck to both of you” dan “Menerima hakikatnya, Redha” sebelum dia memadam sebahagian daripada status yang telah dikongsikan.
Sebelum itu pada malam tadi, Qi juga telah berkongsi sekeping foto gelap berwarna hitam berserta caption “Because a picture and a caption can kill you sometimes” pada malam tadi dipercayai mempunyai kaitan dengan kemaskininya di Twitter pagi ini.
Qi dan Nelydia mula berkawan rapat sejak sama-sama berlakon dalam drama Friday I’m In Lovesekitar tahun lalu dan hubungan tersebut mula menjadi lebih rapat sejak awal tahun ini. Beberapa bulan lalu laporan media ada menyebut, akhirnya pasangan ini mengaku yang mereka sedang ditahap serius bercinta.