EIRA Syazira hanya ketawa selepas membaca dakwaan tentang dirinya tidak berdisiplin.
NAMA Eira Syazira tidak asing lagi dalam persada seni tanah air apabila dia sering muncul di kaca televisyen dengan watak air mata.Pelakon kelahiran Kuala Lumpur ini muncul kembali setelah menyepi seketika selepas melahirkan puteri sulungnya, Amarra Sofea Rose, beberapa bulan lalu, hasil perkongsian hidup dengan pelakon Azad atau nama sebenarnya Azad Jazmin.
Bagaimanapun, dia yang kini aktif berlakon semula termasuk membintangi drama rantaian yang sedang hangat ditayangkan dalam slot Samarinda di TV3 iaitu Ramadan Yang Hilang tiba-tiba dilanda kontroversi.
Eira didakwa sudah tidak seperti dahulu. Dia dituduh tidak berdisiplin, datang lambat ke lokasi penggambaran dan dilabelkan sebagai artis yang tidak pernah menghormati masa orang lain.
Sikapnya yang kurang sensitif itu hanya menyusahkan orang sekeliling sehingga ada yang angkat bendera putih gara-gara serik untuk bekerjasama dengan Eira.
Kosmo! menghubungi Eira untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai spekulasi tersebut.
Kosmo!: Apakah reaksi anda apabila ada spekulasi yang mengatakan anda seorang artis yang tidak berdisiplin?
EIRA SYAZIRA: Sebenarnya saya tergelak apabila membaca berita yang dikeluarkan oleh pihak akhbar tersebut. Timbul pertanyaan, mengapakah ada sesetengah pihak yang melulu menuduh saya sebegitu tanpa bertanyakan saya dahulu. Saya dapat katakan, semua itu adalah fitnah yang hendak menjatuhkan saya semata-mata. Perkara itu tidak pernah terjadi.
Apakah impak terhadap karier anda selepas gosip tersebut tersebar?
Alhamdulillah, sekarang saya mendapat banyak tawaran berlakon. Mungkin ini merupakan rezeki anak saya. Saya tidak kisah apa orang ingin kata tentang saya, atau mungkin si pengadu tersebut ada mempunyai niat dan agenda tersendiri. Dalam dunia seni, saya sedar bahawa kita selalu tidak terlepas daripada fitnah orang. Ada yang suka dan tidak suka kita.
BAHAGIA. Eira dan suaminya, Azad, bergilir-gilir menjaga anak sulung mereka, Amarra Sofea Rose.
Saya harap dalam bulan Ramadan yang mulia ini, berhentilah daripada membuat cerita yang tidak elok tentang orang lain dan banyak-banyak membuat amal ibadah sahaja. Tidak ada hasil jika hanya membuat fitnah.
Menyentuh mengenai kerjaya pula, apakah perkembangan terkini anda selepas melahirkan anak?
Selepas berehat kerana melahirkan anak, sekarang saya kembali bergiat aktif dalam dunia lakonan selepas berpantang selama dua bulan. Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang lakonan masih banyak seperti sebelum ini. Malah, sekarang saya sedang melakukan tiga penggambaran yang akan bersiaran sepanjang bulan Ramadan ini.
Siapakah akan jaga anak apabila anda keluar bekerja?
Jika saya ada penggambaran, suami saya akan jaga anak, jika kami berdua bekerja pada waktu yang sama, mak mertua saya akan membantu menjaga anak kami.
Adakah anda bakal terlibat dengan sebarang naskhah sempena Aidilfitri ini?
Ya, alhamdulillah, saya akan muncul dalam dua drama yang ditayangkan seminggu sebelum raya, antaranya Madu-Madu Raya di Astro Ria dan sebuah cerekarama untuk tayangan di TV3 berjudul Demi.
Adakah anda tidak bosan apabila hanya memegang watak berunsur sedih?
Sebenarnya sejak dari dulu, saya sering menerima watak sedih, mungkin watak sebegitu sesuai dengan saya berbanding watak lain. Namun, tidak mustahil jika satu hari nanti saya akan turut memegang watak antagonis