Peras Ugut: Pelajar Jawab SPM Dalam Penjara

Peras Ugut: Pelajar Jawab SPM Dalam Penjara
Peras Ugut: Pelajar Jawab SPM Dalam Penjara - KOTA BHARU : Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa menduduki peperiksaannya di Penjara Pengkalan Chepa di sini, kerana menjalani perintah tahanan reman berkaitan kes peras ugut bersenjata.
Gadis yang dikenali sebagai Nur itu menyifatkan pengalamannya menduduki peperiksaan tersebut di penjara sebagai satu mimpi ngeri yang tidak pernah diduga akan terjadi ke atas dirinya.
“Saya tidak menyangka pergaduhan adik-beradik boleh membawa saya ke sini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Nur, 18, berkata dia hanya mengambil kertas Bahasa Inggeris dalam peperiksaan kali ini bagi memperbaiki keputusan SPM yang diambilnya tahun lalu.
“Saya mendapat gred D bagi kertas Bahasa Inggeris dan mahu memperbaiki keputusan itu kerana saya bercita-cita mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan,” katanya yang mencatat keputusan 5A, 3B dan 1D dalam SPM tahun lepas.
Anak keenam daripada lapan beradik yang berasal dari Kampung Lembah, Gaal, Pasir Puteh itu ditahan reman sejak 24 Oktober lepas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan bersenjata.
Nur yang pernah menolak tawaran melanjutkan pengajian peringkat diploma dalam pengurusan ladang di Universiti Teknologi Mara, berkata dia belajar sendiri sebagai persediaan menghadapi peperiksaan itu.
“Fokus saya dalam peperiksaan ini agak terganggu dan berasa tidak yakin untuk menjawab soalan peperiksaan kerana terlalu memikirkan keadaan sekarang,” katanya.
Gadis ini bagaimanapun tidak patah semangat dan berharap dapat merealisasikan cita-citanya untuk menjadi doktor pakar mata dan telinga.
Abang dan kakak saya juga doktor, dan mereka menjadi penyuntik semangat, katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Penjara Kelantan Wan Sani Abd Latiff berkata calon tersebut mempunyai semangat yang tinggi sekalipun berada di penjara serta tekun melakukan ulang kaji sebelum peperiksaannya hari ini.
“Selama dia berada di sini dia tidak membuat masalah, kita bantu dia dari segi penyediaan bahan bacaan untuk dia menghadapi peperiksaan hari ini,” katanya.
Menurutnya pihak penjara juga mengasingkan calon yang bakal menduduki peperiksaan bagi memastikan mereka boleh memberi tumpuan kepada ulang kaji pelajaran.
“Keseluruhannya terdapat 20 calon yang mengambil peperiksaan pada tahun ini iaitu Penilaian Menengah Rendah dan SPM namun 19 daripadanya telah dipindahkan ke Sekolah Integriti di Bentong bagi banduan wanita dan Sekolah Integriti Marang, Terengganu bagi banduan lelaki,” katanya. – BERNAMA