Alfatihah! Bapa terbunuh dalam perjalanan ambil keputusan UPSR anak


PASIR MAS 16 Nov. – Hasrat seorang bapa untuk melihat keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) anak ketiganya tidak kesampaian apabila beliau terbunuh selepas kereta yang dipandunya terbabas dalam kemalangan di Kampung Telaga Emas, Lubok Stol, Rantau Panjang di sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, mangsa, Sarjan Yahmin Wahsi, 41, penolong pegawai penyiasat narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli mati di tempat kejadian.

Dua anak mangsa, Siti Amalia Aina, 12, yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Jeli I cedera ringan manakala adiknya, Siti Hanis Nasuha, 6, yang dirawat di Hospital Lati dekat sini sebelum dirujukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.

Bapa kepada lima orang anak itu turut membawa bersama Siti Hanis Nasuha untuk meraikan majlis graduasi kanak-kanak itu di Tadika Perpaduan di kawasan kuarters IPD Jeli.
Dalam keputusan UPSR hari ini, Siti Amalia mendapat 2A dan 3B.