Kemampuan Najwa dipertikai

Kemampuan Najwa dipertikai

Bukan sekali dua, tetapi kerap juga lagu ciptaan penyanyi remaja, Najwa Latif, menjadi bahan sendaan. 

Semuanya bermula apabila penyanyi berasal dari Batu Pahat, Johor, ini muncul dengan single pertama berjudul Cinta Muka Buku. 


Meskipun mengecapi populariti secara mendadak ekoran fenomena dicetuskan lagu itu, sehingga kini kemampuan Najwa dalam bidang ciptaan tetap dipertikai. Kebanyakan lagunya yang diputarkan di corong radio kedengaran seakan sama dengan karyanya sebelum ini. Sampai bila penyanyi ini mahu kekal dengan lagu sebegitu? 



Bertemu penyanyi berusia 18 tahun ini ketika dia menghadiri acara Flora Goes Red For AIDS dan memperkenalkan dirinya sebagai Selebriti Penyokong Reben Merah (RRSS) di ibu negara malam kelmarin, Najwa menjelaskan, sudah tiba masanya untuk dia membuat perubahan terhadap lagu ciptaan sendiri. 

“Saya sedar, ramai yang mempertikaikan lagu ciptaan saya selama ini. Sebagai orang baru dalam dunia seni, saya sentiasa mengambil inisiatif untuk memperbaiki diri. Untuk album kedua nanti, saya membuat sedikit perubahan yang dapat membezakan antara Najwa sekarang dengan yang terdahulu. 

“Saya ada memperdengarkan lagu itu kepada beberapa teman dan mereka tidak sangka ia ciptaan saya,” kata remaja ini yang bakal muncul dengan single terbaru berjudul Hilang.