Sudah lumrah menjadi artis dan selebriti, apa saja kenyataan yang dibuat pasti mendapat perhatian dan kritikan tidak kira dari segi positif atau negatif.
Artis muda yang ingin kami bicarakan ini tidak terkecuali dari gosip-gosip dan kontroversi panas. Daripada gosip berkesedudukan dengan kekasih sehinggalah sikap sombong yang kurang mesra melayan peminat, pelakon Nad Zainal juga pernah dilabel sebagai lupa diri.
Menafikan sekerasnya tentang setiap dakwaan ini, bintang ‘Sunsilk Impian’ ini tertanya mengapa harus beliau bersikap sombong dengan peminat yang selama ini banyak memberi sokongan kepadanya.
“Ini semua salah faham. Mungkin bila bersuara saya agak kasar dan lantang, tetapi tidak bermakna saya tidak menghormati peminat.”
“Sejak belajar teater di Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) lagi, saya dah biasa bercakap lantang dan itu normal bagi pelajar teater seperti saya.”
“Saya minta maaf jika ada pihak yang kurang senang mengenai perkara tersebut, tambahan pula dengan rupa paras saya yang garang membuatkan ramai yang berfikir saya sukar didekati,” jelas Nad.
Tambah Nad tentang segala kontroversi yang datang, ”Memang kita tak boleh nak elak gosip yang datang. Apatah lagi untuk menghentikan mulut orang.”
“Tetapi saya percaya ‘diam’ itu lebih baik dan saya akan lebih berhati-hati selepas ini,” katanya lagi.
Bersyukur kerana mempunyai teman lelaki yang memahami seperti Azwan Kombos, Nad hanya berserah pada ilahi tentang jodoh mereka.
“Saya selalu ditanya bila lagi nak kahwin? Sebagai hamba-Nya kita hanya merancang selebihnya ALLAH SWT menentukan.”
“Tapi bagi saya buat masa ini saya dan dia belum terfikir untuk ke alam berumah tangga, lagi pun usia saya masih muda untuk memikirkan perkara tersebut.”
“Bagi saya buat masa ini, karier lakonan menjadi fokus utama, kerana ia adalah impian saya sejak dari dulu,” katanya yang juga menepis dakwaan hubungannya dengan Azwan sudah retak.