Syamsul Yusof & Puteri Sarah Liyana Sah Bergelar Suami Isteri


Pengarah juga pelakon terkenal, Syamsul Yusof selamat bergelar suami kepada Puteri Sarah Liyana dalam satu majlis akad nikah yang telah diadakan di Masjid Al Mukarramah, Bandar Sri Damansara pagi ini dengan sekali lafaz.
Pasangan ini telah dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Al Fadil Ustaz Mat Syaharuddin Al Rashid Bin Mat Isa dengan mas kahwin berjumlah RM1,111 tunai tepat jam 10.30 pagi tadi.
Majlis ini turut dihadiri oleh kedua-dua mempelai iaitu Encik Megat Kamaruddin bin Megat Shamsuddin dan Puan Paridah binti Puteh serta Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail. Turut hadir adalah ahli keluarga dan sahabat handai terdekat termasuk di kalangan artis dan selebriti tanah air. Pihak lelaki membawa 7 dulang hantaran berbalas 9 dulang hantaran daripada pihak perempuan.
Walau bagaimanapun, majlis resepsi yang dijadualkan berlangsung pada malam ini di Dewan N’dah Mahligai Shah Alam terpaksa ditunda ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian kerana seperti yang sedia maklum bahawa keadaan kesihatan Syamsul yang masih tidak mengizinkan.
Kami di Rotikaya mengucapkan sekalung penghargaan dan tahniah buat pasangan mempelai ini dan mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan yang berkekalan buat Puteri Sarah Liyana dan Syamsul Yusof serta keluarga.