Memang tidak dinafikan setiap kemaskini di laman sosial boleh memberikan spekulasi yang negatif terhadap urusan peribadi seseorang artis. Antara yang menjadi mangsa adalah Umie Aida.
Khabar angin terbaru mengatakan yang rumah tangganya sedang bergolak kerana statusnya di laman sosial yang berbunyi resah dan susah hati. Tambahan, laporan sebuah akhbar mengatakan wujudnya orang ketiga dalam pergolakan hubungan mereka ini. Apa kata Umie Aida?
“Mana mana perkahwinan pun pasti akan dilanda badai. Biasalah, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri, kita kan manusia? Masing masing sibuk. Mungkin juga ketika gambar dan video yang dimuat naik dalam Instagram itu ada masalah yang timbul. Tapi, tidaklah sampai ke arah itu (bercerai),” jelas Umie dengan tenang.
Tambahnya, “Rumahtangga kami OK. Jangan bermain dengan soal kahwin cerai. Tapi apabila bercakap soal cerai, itu ketentuanNya. Siapa kita nak cakap andai penceraian jalan terakhir yang baik atau sebaliknya — saya mengharapkan yang terbaik untuk rumah tangga kami.”
Kalau tuan punya badan sudah bersuara, tidak perlulah kita fikir yang bukan-bukan. Harapnya, memang tiada apa-apa yang buruk berlaku atas hubungan mereka ini. Sedih pula tengok artis asyik bercerai-berai.